Ramai keliru, Fazwan ke Hazwan? Nah, sahabatku namanya Fazwan, aku ada adik
lelaki bernama Hazwan. Jadi peninglah pembaca. Minta maaf. Sahabatku Fazwan
banyak bertanya soalan dengan aku. Tanya apa saja yang dia nak tanya. Tapi
banyak kepada penampilan. Pasal baju, pasal seluar, pasal rambut dan banyak
lagi. Dia tak suka sembang pasal perempuan. Yelah, dia tak hensem pun. Tapi,
dia ada usaha untuk menarik perhatian perempuan. Dia seorang yang rajin
belajar. Dia pandai matematik. Dia kritis orangnya. Kreatif pun kreatif. Dia
suka tulis cerpen. Karya dia pernah tersiar di The Harapan Post. Hebat
orangnya. Tapi perempuan pilih rupa. Takde apalah.
Apapun, setiap pertanyaannya, aku akan cuba bagi jawapan yang terbaik. Aku
tak suka memberi jawapan yang menghampakan. Tatkala tindakan dimulakan, itu
adalah gerak kerja yang baik. Tapi, menahan sahaja yang mampu. Yelah, apakan
daya perancangan itu urusan tuhan.
“Asyraf, hensem tak aku pakai baju turtleneck?,” tanya Fazwan. Aih, baju
apa pulak tuh, tekak-tekak penyu apo? HAHAHA. Demi meludahkan satu jawapan yang
bernas dan geliga, aku pun mengembara di carian gambar Google. Oh, baju ni ke.
Baju yang menutupi leher sampai ke dagu. Laa, ni ke baju turtleneck? Aku ada
dua tiga helai kutt baju ni. Ada sehelai yang aku pakai ketika bercuti di Korea
dua tahun lepas. Baju tu agak tebal, masih sesuai dengan cuaca Safarahan ni.
Baju ni banyak pelakon Korea pakai dalam drama. Pelakon Korea tak pakai baju ni
pun hensem je aku tengok. Tapi aku lagi hensem. HAHAHA bangganya.
“hurm, aku rasalah kan, baju ni ikut rupa rasanya,” jawab aku bernada
rendah. Jawapan aku mungkin dipengaruhi oleh K-Drama yang aku tonton
barangkali? Adakah itu jawapan yang mengecewakan? Huhu.
“huh, yeke?,” itulah reaksi Fazwan. Aku meniti keliru. Apakah ini? Adakah
itu sedar diri atau apa? Ketawa kecilku dalam hati. Fazwan sebenarnya seorang
yang ada idaman. Dia hendak jejak kedai Uniqlo bila dia sudah berpendapatan
nanti. Selain mengambil upah katering di musim panas, dia turut bekerja cuci
pinggan dekat kedai sup di Padang Selera Raja Hashim. Duit upah itu dia simpan
untuk pengajian. Dia memang berdikari orangnya. Dia selalu belanja piza. Dia
baiklah senang cerita. Kerana itu tiada sebab untuk aku tak layan dia. Aku pun
jarang berenggang dengan dia di pengajian.
“macam manalah nak bagi hensem ni, huhu,” nada mengeluh Fazwan. Tapi dia
tak mengeluh. Nada sahaja. Apa salahnya aku jadikan cabaran aku untuk ubah dia?
Dia nak hensemkan? Walaupun aku ni hensem dari kecik tapi aku cuba untuk ubah
penampilan dia.
“Pertama, kau kena jaga kebersihan diri kau,” kata aku mendongak langit.
HAHAHA tapi aku maksudkan ia. Kebersihan merupakan perkara paling penting bagi
lelaki. Bagi manusia secara umumnya. Terkadang, ramai orang suka mencantikkan
diri, tapi kebersihan diabaikan. Akibatnya, ia mengundang salah tafsir.
“aku ni busuk sangat ke?,” sindir Fazwan diiringi ketawa kecil seolah-olah
dihina oleh aku. Sindiran berbalas sindiran ini memang mencuit hati. Tapi dia
punya pasal sebab tanya, maka aku kena bagitau yang pendahuluannya dahulu, baru
beralih pada isi idea.
Kebersihan yang aku maksudkan itu ialah mandi, bersabun dan memberus gigi.
Ia adalah asas utama. Kemudian mencuci muka. Orang selalu tanya aku, aku basuh
muka pakai produk apa jadi berseri dan kacak seperti ini? Apa aku kena jawab
ni? Aku pakai air sahaja. Aku tak pakai sebarang kolagen atau apa-apa makanan
tambahan. Aku pakai pencuci muka. Pencuci muka boleh bersihkan muka secara
mendalam. Kalau ada jerawat, pakailah yang boleh menyahkan jerawat. Aku pun kurang
arif. Tapi aku tetap gelabah apabila bintik merah naik di atas dahi. Huhu, nak
sorok mana. Takkanlah aku nak tutup dengan tangan sambil berjalan menuju kelas.
Nasib baik rambut aku luruh ke depan menutup dahi. Dapatlah tutup sebahagian
daripada terdedah, bukan?
Fazwan pernah cakap, perempuan pandang lelaki yang flawless sahaja,
betulkah? Lelaki yang mencukur janggut sehingga dagunya licin, tiada bulu
persis artis Korea, betulkah? Aku lihat sahabatku Irfan, Faiz dan Farhan memang
baka yang tidak tumbuh bulu. Aku pun macam tu. Aku pernah saja cukur misai dan
janggut aku yang sangatlah minimum tumbuhnya. Aku hendak juga menyimpan
jambang. Itukan Sunnah. Aku yakin, perempuan tak pandang lelaki yang flawless
je kan? Yang cukur sahaja kan? Perempuan pun ada dikalangan mereka yang suka
lelaki berjambang, bermisai dan ada janggut. Lagipun, Sunnah memelihara
jambang. Aku tak sangka, sampai begini susun minda Fazwan. Aku tak menyalahkan
dia kerana ada sebab dia berpemikiran begitu.
Kedua, aset terpenting kaum Adam. Rambut. Haa, ini jangan dibuat main.
Perempuan akan melihat lelaki secara fizikalnya tiga perkara awal; rambut,
wajah dan pemakaian. Rupa ni bukan semua ada, tapi rambut semua orang ada. Tak
semua sebab ada yang botak. Botak tak semestinya tak hensem. Mereka pasti
mempunyai daya tarikan tersendiri. Baik, beralih semula ke topik rambut, adalah
penting untuk sentiasa merapikan rambut. Lelaki minimalis mungkin tidak
menggunakan syampu, kerana ia bukanlah keutamaan. Bawalah sikat kemana jua
untuk menampakkan kekemasan rambut. Penggunaan minyak rambut mahupun jel pomade
amat dialu-alukan. Rambut akan kekal pada tempatnya seharian. Gaya rambut
terserah. Selagi tidak aneh atau terzahir kejahilan, silakan. Hensem tak
semestinya berambut ala Korea macam aku. Lagipun, aku lepas mandi mengusap
rambut, memang sudah luruh menutup dahi. Ada masa, rambut mestilah dipotong
agar tidak serabut. Ada manusia yang jenis rambut panjang disikat rapi, namun
ianya menyerupai perempuan. Alangkah baiknya jika dielakkan. Bukan apa, orang
akan tersalah pandang. Ini untuk kemaslahatan ummah juga kan?
Ketiga…….. “eh kejap!,” sampuk Fazwan. “lelaki tak pakai alat solek ke?,”
soalnya. Ha? Lelaki pakai alat solek? Aku mendagu memikirkannya. Setahu aku,
lelaki tidak bersolek. Pencuci muka tu alat solek ke? Ada sesetengah lelaki
yang memakai pelembap muka, toner, skrub mahupun topeng wajah beserta hirisan
mentimun. Adakah itu alat solek? Aku buntu. Fazwan kata, pencuci muka dan
produk muka yang aku cakap tadi bukanlah alat solek. Tapi lebih kepada
penjagaan muka. Lelaki bersolek mungkin pada penggambaran filem dan drama
barangkali. Maka pertanyaan Fazwan itu diakhiri dengan jawapannya sendiri.
Tragiskah? Ketawa kecil aku kebingungan.
Ketiga, pemakaian dan penampilan diri. Siapa kita dilatari apa yang kita
pakai. Pakaian merupakan perkara pertama yang orang lihat pada diri kita.
Uniform bomba, polis mahupun apron untuk tukang masak. Ia adalah identiti.
Dewasa ini, aku lihat begitu banyak fesyen dan pakaian yang bukan-bukan malah
tidak senonoh. Masa aku memandu melintasi Kompleks Kedutaan Safarahan, aku
tengok pelajar antarabangsa dari negara-negara barat memakai pakaian yang
ketat-ketat, mendedahkan anggota tubuh serta memakai aksesori berlebihan.
Allahuakbar. Oleh kerana itu, aku bersyukur dilahirkan sebagai seorang Muslim.
Tatacara pemakaian menurut Islam selari syariat memberi manfaat dan kebaikan
sarwajagat. Hikmah seorang perempuan menutup keseluruhan tubuh badannya
(melainkan tangan dan muka) ialah dapat melindungi mereka daripada menjadi tatapan
ajnabi. Mengelakkan daripada maksiat serta melindungi keaiban wanita itu
sendiri.
“Untuk menjadi seorang yang hensem, kau hendaklah berpakaian sopan selari
dengan syariat. Kalau kau rasa memakai gelang, emas ataupun rantai leher itu
hensem dan seksi, itu tanggapan salah. Itu jelas menunjukkan pemakaian yang
berciri kebaratan bahkan tak kasar untuk aku katakan ianya kelihatan tidak
beragama.,” tegas aku pada Fazwan. Aku yakin dengan Fazwan. Perwatakan Fazwan
tidak mudah terpengaruh dengan budaya luar. Apa-apa, mesti dia selidik dahulu.
Fazwan semakin faham urutan yang aku ceritakan.
Kini, Fazwan pula mula bersuara. “Asyraf, kehenseman yang sebenarnya bagi
aku ialah apabila mereka menjaga agama. Tiga asas utama hendaklah dipasak dalam
jiwa-jiwa jejaka marhaen. Tauhid, iaitu hubungan dengan Allah melalui cara
sembahyang secara berjemaah dan membaca Al-Quran. Kedua, Syariat yang
sebahagiannya melibatkan hubungan dengan diri sendiri. Pemakaian seperti kau
cakap tadi perlu selari dengan syariat. Menutup aurat dan berpakaian tidak naik
syahwat. Aku tengok kawan lelaki kita yang hensem mereka telah menutup aurat,
namun masih naik syahwat kerana berpakaian ketat dan mendedahkan dada. Inilah
yang cukup menyedihkan anak muda akhir zaman ini. Ketiga, Akhlak. Itulah cermin
sebenar diri kita kepada orang lain dan alam sekitar. Akhlak ni Asyraf, subjek yang sangat penting
namun diabaikan. Kau lihat, anak muda dengan ibu bapa mereka, kaum keluarga
mereka yang lain, dengan kawan mereka, bagaimana akhlak dan tingkah laku
mereka. Cuba kau jawab,”.
“akhlak mereka akhlak yang baik? Jaga perkataan dan perbuatan? Atau macam
mana kau maksudkan itu?,” teka aku. Minda Fazwan membentang padang cabaran.
“akhlak yang sebenar, yang semua patut ada agar dapat memurnikan hidup kita
di dunia ini ialah sifat empati. Ramai orang tiada sifat ini. Ianya adalah
antara akhlak yang terpuji. Kau, kalau kau tak boleh nak terima suatu keputusan
atau penetapan, ketentuan mahupun musibah dan kecelakaan yang menimpa orang
disekeliling kau, setidaknya cuba memahami. Apa yang aku cuba cakap ialah
memahami. Cuba pakai kasut aku. Aku akan pakai kasut kau. Itulah kealpaan
manusia kontemporari. Cuba letak posisi kau kepada seseorang yang dikhianati
sahabat sendiri. Apa yang kau rasa. Kau takut kalau benda ini terjadi bukan?
Maka dari situ kau akan berusaha untuk menzahirkan akhlak mulia. Kau
pertaruhkan akhlak mahmudah dan kau yakin akan imbalannya ibarat kata pepatah,
buat baik dibalas baik.,”
“……. Kau perasan tak, melalui sifat empati, kau akan memahami. Kau akan
bertolak ansur. Kau akan berunding dengan diri dan sekeliling secara waras dan
toleransi. Kau akan bersopan santun. Kau akan cuba berusaha dengan baik. Dan
terakhir, kau akan tersenyum kerana engkau telah menggembirakan sekeliling.,”
jelas Fazwan panjang diiringi senyuman berdurasi. Aku pula bagaikan dibebel
macam nak menghukum aku je HAHAHA.
“amboi, panjang tazkirah. Ada tak puas hati ke dengan aku?,” sindir aku
pada Fazwan. Dia bukan berniat menyindir, tapi lebih kepada suatu pesanat sarat,
berat lagikan padat dari seorang sahabat kepada seorang sahabat. Dia tahu orang
macam aku mudah untuk terjerumus ke kancah maksiat. Nampak kotor bahasa aku
tapi itulah realitinya. Jangan disangka percintaan antara sepasang ajnabi itu
indah, malah ia tersangat jijik dan lebih jijik dari najis. Apabila maksiat
sudah menjadi normal di mata masyarakat, Astaghfirullah. Ia amat menakutkan.
Dosa pahala kabur dalam asap kejahilan. Cukuplah Surah Al-Israa’ ayat 32
merungkaikan jawapan itu.
Pagi Sabtu yang indah. Sebelum fajar meyinsing lagi aku sudah berjoging di
trek joging dekat Sungai Safarahan.
Mentari ceria kian menyinar. Aku semakin kurang hidrasi. Mungkin aku
perlu berhenti. Aku pulang ke rumah. Aku bersarapan dengan nasi lemak sambal
kerang bersama kopi o’ suam. Makan bersama akok, kaswi dan seri muka. Kenyang
buntal diri hahaha. Pagi ini kira aku hanya main permainan video jelah di
bilik.
(nada dering Iphone)
Eh, siapa pula menelefon ni. Hujung minggu ni ada orang nak ajak main
futsal ke? Musim panas ni tak boleh asyik duduk rumah. Pishang sampai ke musim
sejuk lah jawabnya. Kelihatan Fazwan menghubungi aku ni.
“Assalamualaikum, haa apo pagi-pagi ni?,” sapa aku di telefon.
“Waalaikumsalam. weyh, Asyraf kau lapang tak tengah hari ni?,”
“lapang je. Kenapa tu?,”
“jom pergi Maya Mall. Ada benda sikit ni,”
Uish. Macam mustahak je si Fazwan ni. Jaranglah dia ajak pergi pusat
beli-belah ni. Dia biasanya ajak aku pergi perpustakaan, kedai gunting rambut
takpun pergi farmasi. Hari ini ajak pergi pusat beli-belah?
“ha iya iya boleh. Aku tunggu kat depan rumah kau ya,” dia yang ajak aku
pulak yang tawar pengangkutan. Takpelah, apa salahnya.
“tiba-tiba rajin pulak kau ni jadi jimat minyak aku. Ha yelah,.” Fazwan
bernada syukur. Seketika berbicara dalam talian, panggilan ditamatkan. Kena
bersiap untuk pergi pusat beli-belah pula.
Pukul 11.40 pagi. Fazwan berjanji untuk pergi ke pusat beli-belah sebelum
pukul 12. Aku memandu ke rumahnya yang terletak beberapa blok daripada rumah
aku. Kelihatan Fazwan melambai rendah di pintu sekuriti. Di Safarahan ini,
kalau nak menyambut orang biasanya di rumah sekuriti. Sebab majoriti warganya
tinggal di apartmen. Aku pun berhenti di bahu jalan untuk mengambilnya.
“ada apa yang mustahak sangat sampai nak kena pergi pusat beli-belah ni,”
tanya aku bersadur sindiran.
“mustahak jugalah. Sebab kau kena ada jugak,” jelas Fazwan. Aneh, kenapa
aku kena ada ni? Ada pertemuan yang melibatkan aku sebagai orang ketiga ke?
Uii, hebat betul andaian aku ni. Aku terus memandu ke Maya Mall.
Sesampainya di sana, Fazwan terus mengajak aku ke tingkat tiga Maya Mall.
Aku mengikut sajalah.
Eh. Rupa-rupanya dia ajak aku pergi The Parachute. The Parachute ni
terkenal dengan butik pakaian untuk orang muda. Ala-ala Korea ada, mat salleh
pun ada tapi selari syariat. Tapi, lagi pelik kenapa si Fazwan ajak ke sini?
“kau kena jadi juri aku cari baju-baju yang hensem kat sini,” kata Fazwan
diiringi senyum dan ketawa seolah mengenakan aku. Cis, aku terkena pulak.
Berjalan dari rak ke rak, yang digantung dan yang dilipat, semua dibelek.
Sambil Fazwan yang rambang mata, aku pula melilau juga.
“Asyraf, camne hensem tak kalau aku pakai baju ni? Lawa jugak pakai pergi
kuliah,” Fazwan menunjukkan beberapa helai baju kemeja. Ada yang kotak-kotak,
bintik halus dan sa-warna. Apapun, citarasa Fazwan sangat tinggi. Kalah aku ni.
“kau cuba pakai di bilik persalinan. Bayangnya masih samar-samar,” suruh
aku. Walaupun tak hensem, dengan gandingan baju-baju itu Fazwan pasti menawan.
3 minit kemudian dia keluar dengan baju sa-warna; warna hitam keseluruhan.
Wah, nampak karisma sungguh. Tapi dia butang sampai atas. Aku pun bukakan dua
butang di atas untuk kasualkan pemakaian. Ha baru hensem. Butang atas nampak
formal dan nerd sangat hahaha. Setelah itu, dia kembali dengan beberapa lagi
pakaian. Memang sesuai dengannya. Adakah hensem boleh dijana dalam masa sehari?
Entahlah aku tak pasti.
Seketika itu, tiba masa untuk membayar. Fazwan membeli empat helai kemeja,
dua helai seluar fit, sehelai baju T harga promosi dan lanyard songket.
Semuanya bernilai OSR170.00. Turtleneck yang dia sembang haritu tak beli pun.
Dia tak ingat kut. Fazwan bayar tak tunggu aku, menunggulah dia di luar.
Sedangkan aku sudah tertarik dengan baju kemeja berwarna merah jambu ini. Pasti
nampak innocent je aku kat kuliah ni. Hihihi.
-tamat-
Sumber gambar: Pinterest
Ulasan