Langkau ke kandungan utama

Cerpen : Bandar Telah Sunyi


 

Novel Coronavirus merupakan sejenis penyakit baharu yang tidak pernah ditemui manusia. Dipercayai berasal dari Wuhan, terbang mengembara ke seluruh dunia demi satu gelaran, pandemik.

 

Satu persatu negara besar mulai lumpuh. China. Itali. Jerman. Perancis. Sepanyol. Turut tak terkecuali, Amerika Syarikat. Ini suatu kejutan gila pertama manusia sejak meniti kurun tamadun. Hari ini, era globalisasi mementas, sekenit makhluk ciptaan Tuhan mula menetas. Membiak meraja dunia.

 

 

Pejabat Dewan Bandaraya Kota Dahlia. Datuk Bandar Kota Dahlia, Azman Shah mundar-mandir di pejabatnya. Dia risau akan bandar di bawah tanggungjawabnya. Siapa sangka, Azman Shah baru sahaja dilantik menjadi Datuk Bandar, terus menggalas tugas yang berat ini.

 

“Qistina, bagaimana perkembangan COVID bandar kita ni?,” tanya Azman Shah pada Qistina, seorang pegawai kesihatan.

 

“harini sahaja 29 orang masuk wad tuan,” kata Qistina menunduk. Azman Shah terkejut. Kalau sehari dah nak dekat 30 orang, kalau 7 hari? Sebulan? Angka mendaki ini membimbangkan. Azman Shah baru dikurnia amanat, sudah mula memikul guni tanggungjawab yang berat.

 

Setelah membuat perbincangan bersama Ahli Majlis Bandaraya Kota Dahlia, Azman Shah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bandar pegangannya. Dengan kuasa mutlak bandar di tangannya, dia menyekat 4 pintu masuk bandar dari 4 arah; Sungai Manis, Yundai, Kampung Rebana dan Senduduk. Warga Kota Dahlia ditegah keluar dari bandar. Hanya pekerjaan berkepentingan sahaja yang boleh keluar masuk.

 

Azman Shah menjadi tegas. Dia tidak mahu pandemik ini tular ke bandarnya. Cukuplah angka 90 itu. Nampak sikit tapi mengundang bahana besar. Dia bertindak awal bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

 

Tindakan Azman Shah sangat agresif. Kota Dahlia adalah satu-satunya bandar yang mengunci dirinya. Sedangkan bandar lain masih beroperasi seperti sediakala.

 

Sedang jalan tertutup, ramai pemastautin di Kota Dahlia tersekat. Mereka tidak diberi peluang langsung untuk pulang ke mukim mereka. Azman Shah sendiri membuat pengumuman mengejut. Tepat 12 tengah malam itu, polis sudah berkawal.

 

Husna baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Ibnu Batutta. Dia pulang dari luar negara. Kebetulan COVID-19 baru panas-panas sampai ke sini. Lagipun, dia pulang memang untuk bercuti.

 

“ayah, adik dah balik,” Husna menzahir senyum di telefon. Azman Shah baru teringat. Anaknya baru pulang.

 

“adik duduk rumah nenek ya,” kata Azman Shah pada anaknya Husna. Dia sesekali tidak mahu mengkhianati amanahnya. Anaknya dan warga Kota Dahlia sama. Saling ditegah masuk mahupun keluar.

 

“kenapa, tak boleh balik sana ke?” Husna kecewa.

 

“tak boleh sayang, ayah dah kunci tempat ayah, sapa-sapa tak boleh keluar mahupun masuk,” tegas Azman Shah.

 

“anak ayah ni pun takkan tak boleh kut,” Husna mula menaikkan volum suara.

 

“tak boleh, ayah takkan salahguna kuasa ayah,” Azman Shah mula menerbit garang, “dengar cakap ayah, duduk rumah nenek!” suaranya keras bila anak bongsunya mula mengomel. Nenek Husna atau ibu Azman Shah tinggal di Hulu Perintis yang masih belum melaksanakan P-K-P.

 

Husna mula menerima. Dia disuruh untuk kuarantin diri di rumah neneknya. Dia pun naik teksi ke Hulu Perintis.

 

Sesampainya di rumah, dia disambut oleh neneknya, Nek Yah. Mereka berdua berpelukan.

 

“lamanya Husna kat oversea ya, baru balik terus datang rumah nenek,” ceria Nek Yah akan kepulangan cucu kesayangannya. Sebagai seorang nenek yang sayang pada cucunya, dimasaknya gulai ikan selar kuning, kerabu pucuk paku beserta ulam-ulaman.

 

“wah, masakan kampung! Ya Allah, lamanya tak merasa semua ni,” Husna sangat gembira. Yalah, di luar negara asyik menjamah mi dan roti saja, nasi jarang-jarang. Lauk-pauk dah macam ni apa lagi, bedallah.

 

Dalam masa yang sama, dia merindui ahli keluarganya. Ibunya, ayahnya juga abang dan kakaknya semua berada di Kota Dahlia. Dia hendak berjumpa dengan mereka. Namun apakan daya, ditegah bapanya.

 

Azman Shah risau-serisaunya. Tindakannya dianggap terburu-buru. Warga Kota Dahlia mula membuat pembelian panik. Kebanyakan sektor mula ditutup. Sedangkan di luar bandarnya, orang masih ke hulu ke hilir. Pejabat agama Kota Dahlia mula bertengkar dengan pegawainya. Tempat lain boleh sembahyang, kenapa bandar ni tak boleh? Azman Shah mula stres.

 

“arghhh!,” Azman Shah tertekan lalu menyepahkan meja. Dokumen-dokumen jatuh ke lantai. Dia merebahkan badan pada kerusinya. Dia merenung dan menganggap tindakannya bukanlah suatu yang terburu-buru, tetapi sebuah tindakan yang awal dalam proses pencegahan.

 

Tindakannya tepat. Beberapa hari selepas itu, semua datuk bandar dan penghulu kota lain mula bersepakat mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (P-K-P). Pulau Abrasalau kini telah mencapai 300 kes. Kota Dahlia adalah salah satu zon merah. Azman Shah lega dengan tindakannya. Di bandarnya hanya 4 hingga ke 7  kes sahaja yang dicatatkan setiap hari. Azman Shah mula bertindak lebih tegas. Dia sendiri turun, memarahi remaja kacang hantu yang masih melepak di Taman Layang-layang Sri Dahlia. Di setiap jalan, dia memberi kuasa kepada anggota keselamatan untuk memukul mereka yang degil tidak mahu duduk di rumah diam-diam. Sehinggakan satu hari, Kota Dahlia tidak mencatatkan sebarang kes COVID-19. Itulah kejayaan terbesar buat dirinya.

 

Pun begitu, Husna tetap ingin pulang ke Kota Dahlia. Dia terus memikirkan cara pulang.

 

“kalau ikutkan hati, umi memang nak adik balik sini tapi nak buat macam mana, ayah tak bagi,” ibunya pun tak memihak padanya. Dia tekad. Dia tahu dia akan dimarahi oleh ayahnya namun dia tetap berkeras.

 

Husna mula merangka strategi. Dia tahu ada lorong tikus untuk masuk ke Kota Dahlia. Di lorong tikus itu terdapat sebuah kilang telekung. Dia hendaklah berjalan dari kilang telekung itu selama 10 minit untuk ke jalan besar. Dari jalan besar itu, dia melalui sebuah sekolah dan pusat futsal. Kemudian dia sudah dapat menjejak ke pusat bandar, berjalan di lorong pejalan kaki sehingga ke kondominium kediaman keluarganya.

 

Masalahnya, seluruh Abrasalau dikunci. Dia nak pergi sana siang atau malam? Dia nak naik apa dari Hulu Perintis ke lorong tikus itu? Paling mustahak, dia seorang perempuan. Sudah tentu kehilangan akan meresahkan orang disekelilingnya.

 

Husna merenung, ah dia tak kisah. Dia mahu juga pergi kesana. Dia terus memikirkan cara.

 

Husna pergi berjumpa dengan sepupunya Aiman dan Solehin. Sepupu mereka licik. Mesti tahu cara hendak masuk ke Kota Dahlia.

 

“Man, Husna nak minta tolong boleh?,” pinta Husna.

 

Setelah mendengar permintaan Husna, Aiman merenung panjang untuk menunaikan permintaan berat sepupunya itu. Dia mula berbincang dengan Solehin.

 

Solehin pun terus memberi kata putus. Dia akan usaha yang terbaik untuk sepupunya.

 

Mereka bergerak pada waktu malam. Husna memberitahu Nek Yah bahawa dia pergi bersama dua orang sepupu lelakinya. Tiada apa yang perlu dirisaukan. Nek Yah mengandung airmata merelakan kerana cucunya itu sudah berbulan tidak berjumpa dengan keluarganya.

 

Malam itu. Daripada melalui jalan utama, mereka memandu menyusuri denai kampung dengan basikal. Jalan sangat gelap ditemani dengan purnama kian berhijab awan. Aiman boleh sahaja memandu kereta atau motosikal, namun dia malas bertembung dengan pihak berkuasa. Mesti kena tahan dan disuruh pulang.

 

Di hujung denai, ada sebuah anak sungai. Aiman dan Solehin membimbit basikal menyeberangi sungai itu. Husna kagum dengan kesungguhan kedua-dua sepupunya dalam menolongnya untuk kembali ke pangkuan keluarganya. Dia amat berterima kasih kepada Aiman dan Solehin.

 

“sama-sama, janganlah berterima kasih sangat, kita ni sepupu saling tolong menolong,” kata Aiman menguntum senyum pada Husna. Walaupun berbeza dua tahun, namun kemesraan keluarga sangat ikat antara mereka.

 

Sesampainya di lorong tikus itu, Husna meminta untuk berjalan seorang diri untuk pulang. Aiman dan Solehin berkeras untuk menemaninya hingga ke pintu rumah. Alang-alang, jumpa ibu dan bapa saudara mereka. Husna serba salah. Dia perempuan. Bahaya jalan berseorangan. Dia akur sahaja.

 

Di hadapan kondominium Ayupanira Residence. Pengawal keselamatan sedang leka bermain telefon pintarnya. Mereka masuk senyap-senyap. Menaiki lif.

 

TING TONG!

 

Azman Shah hairan. Sudah seminggu, tiba-tiba malam itu ada kunjungan. Dia pun membuka pintu. Alangkah terkejutnya apabila dia melihat Husna di balik gril. Reaksi tegas mula terpancar.

 

“kan ayah dah cakap jangan datang ke sini!,” marah Azman Shah. Pada ketika itu, ibu Husna mula merapati gril dan senyum pada anaknya. Sudah lama tak berjumpa, tambahan kecewa mereka ditegah untuk berpelukan anak beranak. Anak saudara Azman Shah, Aiman dan Solehin dipelawa masuk. Dia bimbang, namun terpaksa merelakan.

 Keesokan harinya, Husna dan kedua-dua sepupunya mengambil ujian saringan COVID-19. Alhamdulillah, mereka bertiga negatif. Mereka sangat bersyukur. Tiada apa yang perlu dirisaukan.

 

Sedangkan puncak kerisauan terpikul di bahu Azman Shah. Dia mengunci Kota Dahlia mendahului bandar-bandar lain di Abrasalau, dan sekarang bandarnya sudah mencatatkan 0 kes. Tiada kematian di bandarnya melainkan semuanya dibenarkan discaj.

 

Apa masalah terbesar baginya sekarang? Warga Kota Dahlia sudah tersepit. Dia boleh sahaja mengumumkan PKP berakhir namun disekeliling bandarnya merupakan zon jingga. Sekiranya dia bertindak menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan ini, dia yakin kluster baharu akan muncul dan kes-kes COVID-19 akan kembali menyapa bandarnya. Kalau dia tamatkan, jalan-jalan antara daerah akan dibuka untuk rentas bandar. Acara-acara keramaian akan diadakan tanpa kawalan. Paling membimbangkan, pemukim Kota Dahlia akan pulang kesini sedangkan diluar masih kritikal.

 

Kalau diikutkan, warga Kota Dahlia sudah boleh menjalani rutin harian seperti biasa. Ahli Majlis telah bersepakat. Kota Dahlia dibuka semula. Tetapi kawalan ketat di sempadan bandar.

 

Keesokan harinya, Kota Dahlia mula dibuka. Semestinya warganya begitu meraikan. Doktor-doktor mula dapat pulang ke rumah setelah lelah menghadap bilik isolasi di hospital.

 

Namun ia tak lama. Lorong tikus itu bukan Husna seorang sahaja yang tahu. Maka kembalilah makhluk COVID-19. Kali ini, kelompok jangkitan lebih besar. Sebarannya di bandar yang baru dibuka, memburu mangsa baharu yang selama ini bertahan di rumah. Kluster pasar raya, kluster sekolah dan kluster pasar basah. Hospital dan pusat kesihatan di seluruh Kota Dahlia mula diisi.

 

Kota Dahlia kembali sunyi.


-tamat-

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Masjid yang Berdekatan dengan LRT, MRT dan Monorel

Assalamualaikum, apa khabar pembaca blog semua! Salam Ramadhan! Alang-alang sekarang ni PKPB, berjalan-jalanlah kita pergi bazaar Ramadhan dan solat Tarawih di masjid. Tapi pastikan kalian patuhi SOP ya. Saya duduk kat rumah sewa di KL ni, tak dapat balik lagi sebab tunggu barang Shopee tak sampai lagi. Barang tu bukan main lagi berjalan dari Petaling Jaya ke Bukit Bintang, ke Petaling Jaya hampir 3 kali. Sakit hati pun ada. Dugaanlah katakan.  Jadi, bila kat KL ni, nak juga berjalan-jalan selagi patuh SOP ni. Tarawih kat masjid-masjid besar pun menarik juga. Untuk entri kali ini saya ingin kongsikan kepada anda masjid-masjid yang korang boleh pergi solat tarawih di ibukota raya ni. Ecewah. kredit: https://www.klia2.info/rail/klia-transit/#check-klia-transit-fare Dari pelusuk manakah anda berada, turun di stesen...... 1. STESEN PASAR SENI : LRT Laluan Kelana Jaya/MRT Sungai Buloh - Kajang Masjid Negara. kredit: Pinterest Keluar melalui jejantas yang menuju ke stesen KTM Kuala ...

MENGAPA PILIH UKM BERBANDING UIA?

ini dari sudut pandangan peribadi seketul Ihsan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana Muda merupakan salah satu impian dalam lipatan kehidupan Ihsan. Sudah sekian 3 tahun Ihsan berada dalam industri Haji dan Umrah ini, Ihsan akui sangat seronok bekerja menyantuni bakal tetamu Allah.       Berbekalkan pengiktirafan pengajian dari Baitulmal, Alhamdulillah Ihsan dapat menyertai industri ini dengan jayanya lebih-lebih lagi sekarang (ketika esei ini ditulis), Ihsan sudah dua bulan berkhidmat di Andalusia Travel & Tours dekat ibu pejabatnya Desa Pandan.      Disamping usia yang semakin meningkat, ada baiknya untuk Ihsan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda, barangkali untuk mendapat gaji lebih lumayan, akan tetapi jauh di sudut niat Ihsan betul-betul memasang matlamat untuk sekadar menelaah ilmu dan memperkaya pengalaman.      Tapi, Ihsan nak sambung belajar di man...

Cerpen: Asyraf Safarahan 2

Ramai keliru, Fazwan ke Hazwan? Nah, sahabatku namanya Fazwan, aku ada adik lelaki bernama Hazwan. Jadi peninglah pembaca. Minta maaf. Sahabatku Fazwan banyak bertanya soalan dengan aku. Tanya apa saja yang dia nak tanya. Tapi banyak kepada penampilan. Pasal baju, pasal seluar, pasal rambut dan banyak lagi. Dia tak suka sembang pasal perempuan. Yelah, dia tak hensem pun. Tapi, dia ada usaha untuk menarik perhatian perempuan. Dia seorang yang rajin belajar. Dia pandai matematik. Dia kritis orangnya. Kreatif pun kreatif. Dia suka tulis cerpen. Karya dia pernah tersiar di The Harapan Post. Hebat orangnya. Tapi perempuan pilih rupa. Takde apalah.   Apapun, setiap pertanyaannya, aku akan cuba bagi jawapan yang terbaik. Aku tak suka memberi jawapan yang menghampakan. Tatkala tindakan dimulakan, itu adalah gerak kerja yang baik. Tapi, menahan sahaja yang mampu. Yelah, apakan daya perancangan itu urusan tuhan.   “Asyraf, hensem tak aku pakai baju turtleneck?,” tanya Fazwan. Ai...