Awal Mac 2020. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisyhtiharkan Coronavirus Disease (COVID-19) sebagai pandemik. Dunia telah mengunci diri. Negara-negara maju mula menutup negaranya. Perintah Berkurung atau Lockdown telah dilaksanakan bagi membendung wabak ini. Negara-negara mula membawa pulang warganegaranya ke tanah air. Negara kaya China mulai lumpuh. Negara bongkak Amerika mengubur rakyatnya sendiri. Negara elegan Itali juga tersungkur.
Paling
terkesan, Masjidil Haram, masjid paling suci umat Islam disekat kunjungannya.
Mataf yang dahulunya bersesak dengan jemaah yang bertawaf siang dan malamnya,
kini tinggal sebuah padang putih yang sunyi dari pijak kaki berjalan.
Bakal-bakal Haji dan Hajah 1441 hijrah sudah boleh menerima kenyataan, tiada ibadah
haji tahun ini. Situasi abnormal ini sudah lama tidak berlaku sejak wabak taun
yang menimpa wilayah Hijaz dan serangan di Padang Arafah yang diperkirakan oleh
sejarah beratus tahun lamanya. Tahun ini, dunia Islam meratapi kesunyian tanah
suci.
Dunia
lagipun sudah tua. Seandainya dikira dari turunnya Nabi Adam A.S. ke dunia ini,
nescaya tak terkira tuanya. Dunia ini juga sakit melarat. Angkara gila dan
rakus manusia, bumi batuk-batuk. Bumi demam panas. Ada hutan dibakar, ada
sungai dicemar, ada saja bangunkan. Meniti akhir zaman, perilaku manusia
menjadi-jadi. Agama Allah jadi taruhan. Sesetengah hanya pada nama semata-mata.
Hidup dalam isme-isme yang merosak jiwa. Hidup semata nafsu serakah.
Mencampakkan diri sengaja dalam hina nyata. Merai sakan siraman arak, menipu
bohong rakyat serta mengaku songsang. Melampau. Bala tuhan beri. Tsunami, gempa
kota, banjir, tornado dan tengkujuh. Tetap tiada kesan. Bahkan manusia mencipta
bala sendiri. Jerebu dan sebaran radiasi. Gila. Mengingat tuhan pun ada masa. Masa
susah disembah, masa senang boleh belah.
Balai
Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Amavalu sudah dipenuhi dengan
warganegara dari luar negara yang selamat tiba di tanah air. Terdapat pelajar
yang menuntut di luar negara dan pekerja mahir. Mereka semua diberi arahan
untuk berkuarantin di pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan selama 14
hari sebelum kembali ke pangkuan keluarga.
Serdadu-serdadu
berkawal. Biasa bersembunyi di belakang kubu, hari ini mereka diarahkan untuk
mengawasi rakyat marhaen sendiri.
Alat
pengimbas diimbas pada dahi setiap orang. Mereka beratus tak kira kelas mahupun
status beratur seperti budak sekolah menaiki bas-bas yang sudah menanti mereka
di pintu balai penyambut.
Mereka
kemudiannya dibawa ke pusat kuarantin yang disediakan oleh kerajaan. Salah
satunya ialah Pusat Latihan Pertanian Negara di Jalan Mat Kilau. Biasanya
bangunan ini digunakan oleh para pelajar kursus pertanian selama 6 bulan. Bilik
asrama telah diubahsuai menjadi bilik-bilik kuarantin. Lagipula, senang, asrama
bilik yang duduk dua orang sebilik. Tandas pun dalam bilik. Cukup untuk
menempatkan 120 orang di sini. Ruang-ruang utama pusat latihan ini turut dibuat
pengubahsuaian sementara. Pejabat pusat kini menjadi pejabat dan tempat
perbincangan paramedik yang bertugas. Bilik rawatan pusat ini sedia menjadi
klinik kecil, bilik kuliah menjadi ruang kajian dan pengumpulan sampel begitu
juga kantin menjadi pusat sajian seperti sediakala.
Raiha
antara yang ditempatkan di pusat latihan ini. Dia baru saja pulang dari Dubai,
bercuti katanya. Menginap di Burj Al-Arab, harganya bukan calang-calang. Bagai
bahu bersandar bantal emas, kaki ditungku bantal perak. Inikan pula
membeli-belah di sana, kalau bukan beg tangan kulit Gucci dan kain Versace.
Nama pun Dubai, tempat orang kaya. Balik pun dengan tempat duduk kelas pertama,
setakat makan Nasi Kerabu tiga suap pun 90 ringgit, jus epal tawar gelas
tinggi, apalah sangat. Celah gigi sahaja. Kelas perniagaan tak selesa buatnya.
Inikan pula kelas ekonomi. Euwww, bukan tarafnya. Tapi, hebat-hebat dia pun,
sampai tanah air tetap dikawal. Negaranya bukan negara kapitalis. Lihat saja,
sampai tanah air terus disuruh beratur bersama orang kelas pertengahan dan
kelas bawahan ke pusat kuarantin juga.
Raiha
menunggu giliran untuk masuk ke pusat kuarantin.
“cik
Raiha kan? Selamat datang ke Pusat Kuarantin Kod Anggerik 5 PLPNA. Bilik cik
bernombor 58. Taklimat akan diberikan sebentar lagi,” kata Kamilah, seorang
pegawai penyelia pusat kuarantin di PLPNA. PLPNA merujuk kepada Pusat Latihan
Pertanian Negara Amavalu. Kamilah merupakan pegawai yang bertanggungjawab
mengurus selia pekuarantin di pusat ini. Raiha mengambil nombor biliknya. Dia
pun memikirkan benda-benda pelik di benak jiwanya. Statusnya sebagai seorang
janda kaya dengan harta peninggalan suaminya yang merupakan mantan CEO syarikat
perkapalan, mendiami rumah agam di Seri Berjaya, mempunyai pulau peribadi di
utara Amavalu, memiliki inap desa di Australia, memiliki sebuah kondominium
mewah di tengah-tengah bandar teknologi Safarahan, yang sekarang pula disuruh
kuarantin selama 14 hari di pusat latihan PERTANIAN yang hina di matanya.
Seusai
pendaftaran, Kamilah mula memberi taklimat kepada pekuarantin seramai 120 orang
yang dipilih untuk dikuarantin di sini.
“Assalamualaikum
dan Salam Sejahtera semua, nama saya Dr. Nur Kamilah Ilmi binti Affan. Saya
merupakan ketua penyelia PLPNA ini untuk menguruskan kalian di sini selama
tempoh kuarantin selama 14 hari bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19
sebelum anda semua dibenarkan untuk kembali ke pangkuan keluarga. Saya tahu
ramai di sini merindui keluarga tersayang. Jauh dari Eropah, Asia dan Timur
Tengah anda semua pulang ke tanah air ini hanya untuk bertemu dengan keluarga.
Tapi kita kena putuskan rantaian COVID-19 terlebih dahulu. Saya harap semua
faham. Disini kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga anda semua. Kita
disini ibarat sebuah keluarga besar yang saling berkasih-sayang,” begitulah
kelembutan ucapan Kamilah. Dia tahu kelembutan bicara disenangi ramai. Maka dia
harus bijak menyusun bibit kalimah.
Taklimatnya
panjang. Pekuarantin tekun sambil terpaksa akur akan beribu kekangan yang
dihadapi. Mereka hanya perlu duduk di dalam bilik sahaja sepanjang tempoh
kuarantin. Mereka ditegah untuk berkumpul dan bersosial antara satu sama lain.
Pihak medik akan mengetuk pintu bilik dua hingga kali sehari untuk memeriksa
kesihatan pekuarantin bagi mengesan sekiranya ada gejala. Makanan turut
dihantar dari bilik ke bilik. Ini bagi mengelakkan berkumpul atau sebarang
situasi yang mengundang penyebaran.
Raiha
mula diarahkan untuk masuk ke bilik kuarantin. Dia dari tadi menyimpan
omelannya saja. Turut dibawa bagasi pakaian dan barang belian dari Dubai. Tadi,
dia turut dibekalkan dengan kad pengenalan kuarantin, sebotol alat pembasmi
tangan dan topeng muka.
Setibanya
di bilik bernombor 58, dia membuka pintu. Hah, ianya hanyalah sebuah bilik
kecil, ada sebuah katil bujang, meja belajar, kerusi, rak penyidai, pemanas
air, kipas dinding, lampu kalimantang. Di tandas terdapat tandas duduk biasa,
sinki dan pancur air. Bilik ini sebenarnya bilik asrama pelajar pertanian yang
menuntut di sini.
Sudah
semestinya Raiha tidak berpuas hati. Bilik pakaiannya 5 kali ganda lebih besar.
Itu tak termasuk almari tas tangannya lagi. Lantai pula hanya simen
semata-mata. Kipas pula hanya sebuah melekat di dinding. Raiha mula merungut.
“kenapa
saya kuarantin dekat sini? Tempat ni tak setaraf dengan saya tahu tak?,” suara
Raiha meninggi pada Fatin, seorang pramusaji yang menghantar makanan dihadapan
biliknya. Fatin hanya mampu menenangkan Raiha kerana mengurus tempat kuarantin
bukan bidang kuasanya.
“puan,
nanti saya beritahu pada Dr. Kamilah ya,” pujuk Fatin. Dia meletakkan bungkusan
makanan dan minuman diatas meja dihadapan bilik Raiha. Ia merupakan SOP dalam
sajian kepada pekuarantin demi mengelakkan sentuhan.
“ni
ada makanan, saya letak disini ya,” senyum Fatin walaupun bertopeng muka.
“hah,
apa ni? Nasi goreng kampung? Telur goreng? Air sirap? Kampung betul makanan
ni,” Raiha merungut lagi. Fatin semakin bengang namun ditahan saja. Orang kaya
memang banyak perangai. Makan pun merungut. Rezeki Allah tu. Bersyukurlah.
Entah-entah orang kaya ni bagi nasi goreng kampung ni kat kucing mereka je
kutt. Hina sangat.
“puan,
makan sahaja apa yang ada, inikan rezeki Allah,” Fatin mula menyindir. Serasa
di hati mahu maki, tapi ditahan saja. Raiha mengendahkan sahaja. Lagipun, dia
memang lapar sejak dari lapangan terbang lagi. Fatin pun berlalu untuk
menyambung agihan makanan dari bilik ke bilik.
Raiha
ikutkan tak kuasa nak makan makanan ‘gelandangan’ katanya. Waktu dia melancong
ke Kuala Lumpur, dia pernah makan nasi goreng. Memang rasa murahnya. Dibasuh
mulut dengan kopi Esspresso RM15.00 di sebuah kafe Inggeris dekat Pasar Seni.
Dia tak ingin benda murah lama berbekas di mulutnya. Dia pun mengambil sudu
plastik. Murah. Makan beberapa suap. Sedap juga makanan murah ni. Takdelah
sampai nak muntah tapi bolehlah. Ada ikan bilis, kangkung dan hirisan lada.
Boleh tahan jugaklah. Diminumnya air sirap yang sudah cair aisnya. Tawar sikit.
Dia sendiri dah rasa macam orang yang merempat makan benda murahan ni.
“Doktor,
boleh tak saya nak cakap sikit dengan doktor?,” Raiha akan memanfaatkan
sebaiknya masa apabila berpeluang berbicara dengan Dr. Kamilah.
“ya
cik Raiha, ada apa?,” kata Dr. Kamilah. Inilah pertemuan kedua mereka setelah
pendaftaran tempoh hari.
“kenapa
saya kena kuarantin dengan tempat yang……… doktor faham-fahamlah, kan?” kata
Raiha berpimpin angkuh.
“saya
tak faham, tempat yang apa tu cik,?” Dr. Kamilah sedikit kebingungan.
“doktor,
tempat ni bukan standard saya doktor. Suami saya walaupun dah arwah, dia CEO
syarikat. Bilik kecil, sempit, berhabuk lepastu ada bau macam deodoran lelaki
ni tak sesuai dengan saya. Makanan pulak, huhu sedih! Nasi goreng kampung?
Doktor, bagilah saya kuarantin kat hotel 7 bintang ke, makan stik ke, ini duduk
dalam bilik panas ni TV pun takde,” rungut Raiha makin angkuh.
Dr.
Kamilah sedar dan terketuk. Tak sangka dia dapat pekuarantin dari kayangan
rupanya. Serba tak kena. Tak boleh hidup susah. Hanya tahu merungut siang dan
malam. Baru dua hari, terus merungut minta itu ini. Tambahan pula dia
sememangnya sibuk menguruskan pemeriksaan pekuarantin dan pengumpulan sampel,
dia turut terpikul di bahu melayan manusia kayangan juga.
“cik
Raiha, in shaa Allah saya usahakan ya,” kata Dr. Kamilah perlahan. Dia bengang,
namun kerana tanggungjawab, dia cuba berikan perkhidmatan yang terbaik.
Dr.
Kamilah malas sebenarnya. Kalau dia tak uruskan penginapan baharu Raiha, dia
akan bertemu dengan Raiha setiap hari dan mendengar merungut merungut merungut.
Tapi, kalau Raiha dipindahkan ke hotel, jadi satu kerjaan baharu pula nak suruh
pemeriksa kesihatan ke sana hanya untuk memeriksa Raiha. Dia bermesyuarat
dengan jawatankuasa Pusat Kuarantin Kod Anggerik 5 PLPNA.
Rupa-rupanya
bukan Raiha seorang sahaja yang bermasalah. Ada lagi manusia banyak songeh yang
memang terdiri daripada puak-puak kayangan. Itu tak kena ini tak kena. Memang
lahir bangsawan, mati pun keranda berbilik-bilik. Dr. Kamilah mula tertekan.
Kakitangannya menenangkannya. Dia berhubung dengan Jawatankuasa Pusat Kuarantin
COVID-19. Dr. Kamilah bercadang untuk mewujudkan pusat kuarantin baharu yang
kecil di sebuah hotel mewah di bandar Amavalu. Dalam stress itu, dia telah menghubungi
beberapa hotel terkemuka; Berseintein Locality, Grand Amavalu, Royal Chempaka
dan Autumn Tower. Mereka enggan kerana
mereka bimbang kesihatan pekerja masing-masing tambahan pula sudahpun bercuti.
JPK pun menolak cadangan Dr. Kamilah bulat-bulat. Kakitangan kesihatan sangat
terhad inikan pula melayan kerenah kluster kayangan.
Dr.
Kamilah hampa. Namun dia tabah menghadapinya. Tenang, 14 hari sahaja menghadap
semua ni. 3 hari berlalu. 11 hari sahaja lagi. Tenang, sabar kata hati Dr.
Kamilah.
“maafkan
saya cik Raiha, saya dah usahakan tapi tak boleh,” Dr. Kamilah memohon maaf.
“tak
boleh diharap langsung doktor ni. Aku ni dah hilang maruah dah duduk dalam
reban ni kau tahu tak?,” tengking Raiha. Dr. Kamilah bengang. Tapi masih
memohon maaf.
“maaf
kau takde gunalah, doktor. Aku ni bini CEO. Kaya. Sampai sini kena duduk kat
sehina-hina tempat ni. Dapat pulak doktor takleh pakai. Makan najis lagi, huh,”
kata-kata bongkak-sebongkaknya. Dr. Kamilah sudah hilang sabar.
“cik
Raiha, jangan biadab sangat ya cik Raiha. Sekaya-kaya cik Raiha, cik Raiha tu
surirumah je. Persatuan bawang orang-orang kaya je. Acah main golf konon. Ni,
kalau rasa gulai ayam ni najis, takpe, saya ambil balik. Puasa jelah cik Raiha.
Dapur kami kat sini memang masak najis. Kami tak pandai nak kunyah emas,” Dr.
Kamilah menganjing Raiha. Dua orang petugas bersamanya menyokongnya.
Raiha
menolak Dr. Kamilah. “eh, manusia, kau jaga sikit kata-kata kau eh. Silap
haribulan aku boleh saman kau tau.,” ugut Raiha. Dr. Kamilah mengusap PPE-nya.
Dia pantang dicabar. Dia tidak lagi melihat jawatannya.
“eh
pompuan! Kau rasa kau kaya boleh bawak mati ke? Kau ingat aku ada masa nak
layan kau banyak songeh ni! kau ingat aku ada masa nak sakit kepala? Sombong
punya manusia,” Dr. Kamilah bersuara keras. Dia tahu dia berada di bendera
kebenaran.
Raiha
menghempas pintu. Marahnya menjahit dendam. Bongkak terus bongkak. Dia
menyepahkan biliknya. “arghh!!,” jeritan amarah.
Dr.
Kamilah dipanggil oleh pihak atasan JPK. Dia dituduh biadab dengan pekuarantin.
Dia berunding. JPK sendiri pernah menolak cadangannya bulat-bulat. Naik gila
Dr. Kamilah mengadap hari-hari. Hilang kredibilitinya sebagai seorang doktor
kalau begini. Raiha sudah menfailkan tuduhan di mahkamah. Dengan angkuhnya dia
berkata “biadap punya doktor,”. Tak semena-mena Dr. Kamilah dikenakan tindakan
tatatertib. Dia akur. Dia dipaksa memohon maaf pada Raiha. Dr. Kamilah melutut.
Raiha menghina doktor itu dengan meletak kaki di atas peha melutut Dr. Kamilah.
Raiha sudah menang.
Raiha
rasa dia menang. Dan dia ingin membuat benda lagi teruk pada Dr. Kamilah.
Keesokkan
harinya, pagi-pagi lagi Fatin sudah menyediakan menu sup cendawan panas, sandwich
sardin dan teh o suam untuk pekuarantin di PLPNA. Dia mula menyusun pada troli
sajian. Ditolaknya troli berjalan untuk diagihkan.
Bilik
56 sudah, 57 pun sudah. Kini bilik 58 pula. Eh, ada darah mengalir dari bawah
pintu. Bunyi mengaduh terdengar sayup-sayup di dalam. Fatin takut. Dibukanya
pintu perlahan-lahan.
Masha
Allah! Raiha menangis kerana terpijak kaca. Darah memancut keluar. Walaupun
sudah ditutup, namun ia kian mencurah. Fatin memuka kasihan. Dari kaki lima
tingkat 4 itu, Fatin melaung tolong. Beberapa petugas kesihatan tiba di pintu
bilik. Mereka menuntun Raiha ke bilik rawatan.
Sesampainya
di bilik rawatan, lukanya dibasuh dengan air mengalir. Dia menjerit sakit.
Disapu antiseptik kemudian lukanya dibalut. Dr. Kamilah pun datang melihat.
“cik
Raiha, macam mana? saya tengok pendarahan kritikal walaupun hanya luka kecil.,”
kata Dr. Kamilah.
Raiha
menangis teresak-esak. Dia menyesal berlaku biadab terhadap Dr. Kamilah.
“doktor,
maafkan saya,” kata Raiha berseduan. Dia terharu kerana Dr. Kamilah mengambil
berat padanya. Dia faham kenapa Dr. Kamilah berlaku biadab padanya tempoh hari.
Sebab dia yang biadap dulu.
Dr.
Kamilah menahan airmata dari menembus kelopak mata. Dia sedar tanggungjawab
sebagai doktor. Dia tak sepatutnya berlaku biadab. Bukan kerana dia seorang
doktor atau seorang yang bekerja dalam sektor perkhidmatan, akan tetapi sebagai
seorang Muslim yang sejati. Seorang Muslim dilarang menyakiti saudaranya dengan
kata-kata mahupun perbuatan. Dia benar-benar menyesal.
Raiha
dan Dr. Kamilah saling bermaafan. Walaupun tidak berpelukan, masing-masing
telah bermuhasabah diri. Sejak dari itu, Raiha cuba memahami kehidupan warga
marhaen dan menyenangi frontliners seperti Dr. Kamilah.
14
hari tamat akhirnya. Semua pekuarantin dibenarkan pulang ke kediaman
masing-masing. Namun, mereka perlu duduk di rumah selagi masih berada di bawah Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP).
Raiha
mengemas barangnya. Dia rasa macam sekejap sahaja.
Bas-bas
sudah bersedia untuk menghantar pulang pekuarantin di PLPNA. Raiha mencari Dr.
Kamilah.
“eh,
apa ni Raiha?,” Dr. Kamilah terkejut dengan sebuah totebag yang dipenuhi dengan
aneka cenderamata dari luar negara.
“ini
cenderamata yang saya beli di Dubai. Ambillah, saya hadiah,” kata Raiha
tersenyum.
“eh,
tak perlulah Raiha, mahal sangat ni, sayang,” Dr. Kamilah segan bila diberi
hadiah itu. Dia berkira-kira 1000 ringgit jejak juga tu harganya.
“takpe,
lagipun doktor dah ajar saya erti kehidupan yang sebenar. Doktor dah
menyedarkan saya bahawa kesombongan tak boleh membawa apa-apa manfaat,” terang
Raiha. Selama ini pun dia sering memandang rendah pada golongan bawahan, yang
sebenarnya membawa erti realiti.
Dr.
Kamilah serba salah. Lagipun, jika ditolak kecil hati Raiha. Terima kasih
memadai.
“nanti
tambah kawan di Facebook tau!,” kata Raiha riang. Mereka ketawa keceriaan.
Raiha
menaiki bas meninggalkan Pusat Latihan Pertanian Negara Amavalu. Raiha melambai
pada Dr. Kamilah dari jauh. Mereka berdua telah mendapat pengajaran yang
bermakna dalam hidup mereka.
-tamat-
Ulasan