Januari 2020. Faqihah selamat
diijabkabul bersama Hakimi. Akad nikah di Masjid Abu Bakar itu disaksikan oleh
keluarga dari kedua-dua pihak. Bahagianya ibu dan bapa Faqihah kerana anak
perempuan tunggalnya menikah jua. Airmata kegembiraan bercucuran pada hari
bahagia itu.
Sebuah kenduri kesyukuran diadakan
di Dewan Serbaguna Hang Kasturi, Taman Kejayaan. Pelbagai juadah disajikan
kepada hadirin dan hadirat yang datang. Nasi tomato, ayam masak merah, kerutut
daging, ikan keli berlada diiringi papadom, buah semangka dan sambal belacan.
Walaupun tiada bersanding, apabila Faqihah dan Hakimi mula berjejak untuk makan
beradab, ramai terpesona.
Faqihah, seorang ustazah di Darul
Syabab. Hakimi pula seorang doktor di Hospital Besar Amavalu. Mereka berdua
sangat secocok. Bagai pinang dibelah dua. Tak pernah bercinta, jodoh ditentukan
ibu bapa. Tentukan bahagia pabila saat perkenalan pertama.
Coronavirus Disease 19 atau COVID-19
mula tersebar dari kota Wuhan, China. Bermula dari China, pandemik ini merebak
hampir ke seluruh dunia. Kerana ianya benda baharu, mengejutkan separuh manusia
di muka bumi.
Kes meningkat dari hari ke hari.
Graf membeban. Para doktor mula bersiap-siaga, menerima pesakit COVID-19 hari
ke hari.
“sayang, abang dipanggil untuk
perjuangan ini. Doakan abang ya,” kata Hakimi, sayu manis pada Faqihah. Faqihah
redha pada bulan-bulan pertama perkahwinan, dia dipisahkan atas nama
perjuangan.
Hakimi mula meninggalkan
kediamannya. Dia sendiri tak tahu, bila dia akan pulang.
Setibanya di Hospital Besar Amavalu,
dia pergi ke bilik persalinan. Dari jersi Juventus dan seluar slack, dia
menukar pakaian. Dipakainya pakaian khas Personal Protective Equipment (PPE).
Baju hijau uniform dipakai. Disarungnya PPE berlapis-lapis. Sarung tangan pakai
buang dan topeng muka turut dikenakan. Dan yang terakhir, diikatnya perisai
muka. Sudah pakai pun sudah berpeluh, namun dia yakin ini adalah jihad.
Dia keluar. Menerjah wad isolasi
bersama sahabatnya Nazim, Fahmi dan Kamal. Merawat tanpa jemu. Ventilator silih
berganti. Keletihan memercik namun apakan daya, tanggungjawab. Melihat
dada-dada yang tercungap-cungap, itulah kebiasaan.
Kegembiraan apabila dapat discaj
pesakit. Hakimi bahagia memberitakannya. Pesakit apatah lagi. Namun, ada masa,
dia turut maklum akan kematian pesakit kepada waris. Lagilah. Tiada kucupan
terakhir. Masakan waris dapat menerimanya? Terima sahaja, hakikat pemergian
sendirian tanpa kunjungan.
Sudah 10 hari Hakimi tidak pulang ke
rumah. Dia tertidur di sofa di hadapan dewan kecemasan. Dia rindu isterinya.
Kepulangannya ke rumah
menggembirakan Faqihah. Hakimi menahan dari jauh.
“sayang, jangan dekati abang,” kata
Hakimi. Faqihah faham, Hakimi tak mahu menyebarkan padanya. Mereka saling
mencintai. Hakimi tak sanggup namun dia redha. Berlambaianlah mereka berdua di
antara pagar rumah.
“abang, saya ada buatkan pengat
nangka,” kata Faqihah sayu. Dia hiba meletakkan bekas makanan berisi pengat
nangka di atas lantai. Dia menjauh. Hakimi mula mendekati bekas makanan itu.
Diambilnya sayu. Airmata pasangan bercucuran. Hakimi makan pengat nangka itu.
Sesekali, titis tangis menitik masin jatuh ke dalam pengat. Sedihnya tak
tertahan lagi.
“sedap tak bang,” tanya Faqihah yang
merenung wajah Hakimi makan sedari tadi.
“sedap sayang, cenggini ha,” dalam kebasahan airmata, Hakimi mengangkat ibu jari tanda bagus. Sempat lagi berjenaka. Faqihah semakin tenang. Dapat melihat wajah suami tercinta cukup baginya.
Hakimi kembali ke hospital. 9 kes
baharu hari ini. Dia diarahkan untuk duduk di bilik konsultansi sahaja.
Dapatlah dia berehat sedikit.
“masuk,” Hakimi memanggil tatkala
mendengar ketukan pintu.
“ya akak, ada apa,” tanya Hakimi.
“macam ni, akak ada demam sikit,
batuk dua tiga hari ni,” terang perempuan itu.
“akak ni baru balik dari luar negara
atau ada sertai mana-mana perhimpunan ke?,” tanya Hakimi.
“eh, mana ada. Kan tak boleh keluar
rumah. Mana je akak pergi.,” jawab perempuan itu selamba.
“maksud saya sebelum P-K-P ni akak
ada tak pergi mana-mana tempat orang ramai?” Hakimi semakin serius.
“tak! Doktor, kalau ada pun, akak
pergi rumah mak ayah je,” jawab perempuan itu tenang tanpa menyedari Covid
bukanlah benda yang main-main.
“dah habistu kenapa tak cakap dengan
jururawat kat depan tu ada pergi rumah saudara?” Hakimi menjegil.
“alah, ramai orang, jururawat tu
pulak suara bukan main kuat nanti ramai dengar malulah akak,” jenis ikut kepala
dia je perempuan ni. Sanggup menipu demi nak masuk ke dalam bilik konsultansi.
Dia tak fikir masa doktor dah disiakan begini.
“beginilah akak, akak masuk wad
dulu. Nanti saya jumpa kat sana,” Hakimi kalau ikutkan malas nak jumpa dia,
namun apakan daya, tanggungjawab.
Hakimi memanggil jururawat yang
membenarkan perempuan itu masuk tadi.
“ya doktor,” kata Yasmin, jururawat
yang memberi kebenaran kepada perempuan itu tadi.
“Yasmin, perempuan yang awak
benarkan masuk tadi, ada sejarah perjalanan. Boleh jadi dia adalah generasi
jangkitan pertama dan seterusnya,” terang Hakimi. Yasmin terkejut. Dia kena
tipu hidup-hidup. Dia membenih kebimbangan. Mohon dijauhkan.
Hakimi juga bimbang. Penipuan begini sangat bahaya. Baru semalam, sahabatnya di Hospital Kagalaram positif COVID-19. Sebabnya, kena tipu dengan pesakit. Acah duduk rumah, tapi sebenarnya baru balik dari Jerman terus lepak makan di tepi sungai.
Pesakit perempuan itu mula
menunjukkan simptom-simptom COVID-19. Dia mula batuk dan sesak nafas. Dia tu
pula ditempatkan di wad biasa. Tanpa disedari, seorang tua disebelahnya yang
kencing manis kena, remaja disebelahnya pun terkena sebaran COVID-19. Hakimi dan
Yasmin mula mendatanginya. Lalu mengambil ujian dibimbangi terkena COVID-19.
Ya, dia seorang positif COVID-19.
Dia mengaku yang dia baru balik dari Rome, Itali. Dia tidak kuarantin 14 hari
di rumah. Dia jenguk ibu bapanya di Pulau Chamban. Baru nak mengaku?
Perempuan itu segera dipindahkan ke
wad COVID-19. Hakimi dan Yasmin mula membuat ujian saringan COVID-19. Tidak
ketinggalan pesakit yang berjiran dengan perempuan itu.
Hasilnya, Hakimi, Yasmin serta dua
orang pesakit itu disahkan positif COVID-19. Angkara seorang yang menipu, empat
terkena. Hakimi dan Yasmin mengakui, mereka tak pakai PPE. Namun apakan daya,
takdir.
Status Hakimi berubah sekelip mata.
Dari seorang doktor kepada seorang pesakit. Dia redha. Dia menghubungi Faqihah.
(nada dering)
“Assalamualaikum abang, apa khabar?”
gembiranya Faqihah setelah 3 hari suaminya tidak menghubunginya. Hakimi
menjawab salam dengan nada biasa.
“abang nak beritahu sesuatu, harap
isteri kesayangan abang tabah ya,” kata Hakimi sayu. Faqihah mula meronta hati.
“ya, kenapa abang?”
“abang positif………,” Hakimi bernada
sedih dah tak sanggup menyambung. Dia mematikan panggilan.
Faqihah bagaikan jantung berhenti
berdegup. Apakah? Suami tercintanya…… dia mula menangisi. Seakan dunia sudah
terbalik. Apa erti kehidupannya lagi? Dia segera mengambil wudhu’,
bersembahyang sunat menenangkan diri. Dia redha dan memohon kesembuhan
suaminya.
Dia percaya, suaminya kuat. Suaminya
mampu berhadapan dengan sang korona. Sebagaimana gagahnya cinta mereka,
begitulah pendinding menahan jangkitan korona ini.
Hakimi tahu Faqihah seorang yang
kuat. Dia mampu menerima takdir ini. Dia tahu cintanya sangat utuh, perisai
menentang korona.
Hakimi kini terbaring di wad
isolasi. Dia tenang. Sahabatnya sendiri Nazim, Fahmi dan Kamal memantaunya
setiap hari.
“mi, aku nak minta satu benda
boleh?,” pinta Hakimi pada sahabatnya Fahmi.
“boleh, nak apa?,”
“boleh tak bagi aku sebatang pen
dengan sehelai kertas?,”
Dihulurkan pada Hakimi diletakkan di
atas meja. Fahmi meninggalkannya sambil menunjukkan simbol semoga kuat
menghadapi penyakit ini. Hakimi mengukir senyum.
Hakimi mula menulis sesuatu. Pada meja sajian berbunyi pena berjalan. Esak-esak tangis kedengaran sayup-sayup dibalik langsirnya.
Keadaan Hakimi semakin kritikal. Dia
dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Dia telah diberikan alat bantuan
pernafasan.
Namun apakan daya, hidup mati urusan
Ilahi. Hakimi kembali kepada pencipta pada petang itu setelah beberapa hari dimasukkan
ke dalam wad.
“Faqihah, aku harap kau dapat menerima
ya,” kata Fahmi sayu. Faqihah tersungkur. Dia harus menerima bahawa dia sudah
menjadi janda di usia perkahwinan yang terlalu muda. Dia menahan airmatanya.
Panggilan telefon terakhirnya bersama Hakimi masa dia disahkan positif. Dia
memandang wajah suaminya secara langsung ketika memberi pengat nangka. Hari
ini, dia menerima berita bahawa Hakimi telah pergi buat selama-lamanya.
Tubuh Hakimi sedang diuruskan untuk
pengebumian. Tiada siapa yang boleh mengunjungi pemakaman melainkan
petugas-petugas yang memakai PPE. Fahmi redha dengan pemergian sahabat
karibnya. Frontliners telah berkurang seorang apabila dia sakit. Kalau sehari
seorang doktor jatuh sakit, hospital tentunya semakin lumpuh. Tipulah lagi
frontliners ni, jenis tak kisah aniaya orang.
Jenazah mula diusung ke bilik
pengurusan jenazah. Kesediaan ustaz-ustaz sukarelawan mula menyediakan body
bag. Setelah ditayammum, jenazah kemudiannya dimasukkan ke dalam keranda
khusus. Diletakkan mengiring, dipaku keranda tersebut. Jenazah disembahyangkan
oleh 4 orang petugas di dalam bilik itu.
Jenazah diusung keluar untuk dibawa
naik ke van jenazah. Proses sanitasi segera dilakukan pada keranda, van jenazah
dan bilik pengurusan jenazah.
Setibanya di tanah perkuburan, sebuah liang lahad menanti. Diturunkan perlahan-lahan menggunakan tali. Dikambus. Tiada talkin. Faqihah tidak dibenarkan untuk datang.
Ketika sedang menguruskan katil yang
diduduki arwah Hakimi, Fahmi menjumpai sehelai kertas. Isi kandungan surat itu
adalah untuk Faqihah. Dia mengambil surat itu, sanitasi ia dengan alkohol,
dibungkus dalam plastik dan dimasukkan dalam sekeping sampul.
“Faqihah, arwah ada tulis surat
untuk kau,” Fahmi menghulurkan sampul surat kepada Faqihah ketika dia datang
untuk menguruskan pengesahan kematian Hakimi.
“terima kasih Fahmi,”
“sama-sama,”
Di rumah. Faqihah sudah 2 hari
kehilangan suami tercintanya. Dia membelek album kecil perkahwinannya. Indah
sungguh. Dia bergambar di banyak tempat. Air Terjun Sungai Tabosan, Pantai
Rindu dan Muzium 5D Amavalu. Dia mengimbau kenangan berbulan madu di Pulau
Langkawi, Kedah. Bersantai di Pantai Cenang, gayat menaiki kereta kabel di Gunung
Mat Cinchang mahupun comot-comot makan coklat Daim berlatar belakang burung
helang kebanggaan kota Kuah. Inilah secebis kenangan manis lakaran bersama.
Mana mungkin dapat dilupa begitu sahaja.
Faqihah mencapai surat yang
diberikan Fahmi tempoh hari. Surat itu menitiskan airmata Faqihah.
“Assalamualaikum Faqihahku yang
tercinta,
Secebis kalam kecil ini sebagai
pengganti andainya bukan aku yang kembali kepangkuanmu. Duhai anggerik, aku
maafkan andai panggilan telefon itu, meresah hati. Apakan daya, kuasa penentu
ada pada Maha Esa. Aku tak sanggup menumbuhkan air masin matamu, namun aku
telah. Sayang, abang minta maaf seandainya kebahagiaan yang abang berikan
selama 3 bulan ini tidak memadai. Abang cuba sehabis baik. Senyum sayang adalah
permata. Kini, ia sudah hilang dari pandangan. Jika abang ada berbuat
kesalahan, maafkan abang ya. Sayang adalah cinta pertama dan terakhir abang.
Salam sayang suamimu, Hakimi.”
Faqihah menangis semahunya.
Sepanjang 3 bulan perkahwinannya, mereka sangat bahagia. Namun apakan daya,
tempohnya singkat.
Diusap perut, anak mereka berdua
baru 4 minggu dalam kandungan. Dia redha, anaknya sudah bergelar yatim sebelum
dapat melihat wajah ayahnya.
-tamat-
Ulasan