Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam pembaca semua! Terima kasih atas kesudian para pembaca kerana meluangkan masa membaca catatan pelbagai di blog ini.
Dalam blog kali ini, Ihsan ingin kongsikan
mengenai masjid universiti manakah yang paling cantik – pada pandangan seketul
Ihsan. Dalam catatan sebelum ini, Ihsan membuat perbandingan antara Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
yang mana Ihsan bandingkan diantara sistem pengajian, budaya dan senibina. Soal
senibina barangkali remeh bagi sesetengah orang, tapi seorang peminat seni,
Ihsan mengaguminya sebagai salah satu warna budaya dalam sesebuah bangsa.
Letaknya senibina utama adalah di Masjidnya, menjadi gah sebuah taman ilmu.
Bercakap soal masjid, bukan dua
universiti itu sahaja yang Ihsan kunjung masjidnya, ada juga beberapa masjid
universiti lain yang Ihsan ada singgah, serta menunaikan sembahyang di situ. Cantik
kehidupan untuk dicatatkan disini sebagai satu kenangan, utamanya esei ini
adalah ingin memberitahu kepada para pembaca masjid universiti mana yang paling
cantik.
Masjid
Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Tangok
Masih dalam ingatan, selepas Ihsan mengikuti program
Temu Anwar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hebahan program bersama Perdana
Menteri itu menjelajah ke IPTA seluruh negara. Program itu bermatlamat sebagai
medium suara siswa untuk didengari terus kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri
Anwar Ibrahim.
Sewaktu Ihsan pulang ke kampung,
kebetulan program Temu Anwar diadakan di Universiti Malaysia Kelantan,
spesifiknya di kampus induk dekat Tangok. Lah, depan rumah Tok Ma sahaja. Jadi
Ihsan ambil kesempatan untuk menyertai sekali lagi di UMK.
Sebelum menghadiri acara itu, Ihsan menunaikan
sembahyang Zuhur di Masjid UMK. Masjid UMK sebuah masjid ringkas menjadi pusat
Islam di universiti awam ini. Tetapi kedudukannya yang terlalu ‘tepi’, makna
kata tidaklah ditempatkan di tengah-tengah kampus tersebut. Ketika hari Jumaat,
Ihsan tidak pasti ada solat Jumaat atau tidak kerana tidak jauh di luar pagar
kampus, terdapat Masjid Mukim Neman, masjid yang sering Ihsan kunjung untuk
sembahyang raya saban tahun.
Selepas solat Zuhur, Ihsan mengikuti program Temu
Anwar dan kebetulan jumpa dengan rakan sekolah, Haziq salah seorang mahasiswa.
Yalah, masa itu Ihsan sedang berkerjaya gitu.
Masjid
Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), Kuantan
Masjid universiti ini barangkali
masjid paling jauh dari Selangor dan Kelantan yang pernah Ihsan ziarah. Masa
itu, sahabat si Azam mengajak mengejut untuk pergi kenduri kahwin Kak Fatihah
di Pekan, Pahang. Dia dan sahabat si Nazif datang ke rumah untuk ambil Ihsan
dalam pukul 4 petang. Seingat hari itu, Ihsan sudah barai dengan perjalanan ke
Dabong dan kursus Umrah ketika itu, diiring dengan tekanan stres Ihsan rasa
hendak sambung sahaja barai itu.
Bermula petang itu, menyambung barai yang amat Ihsan memandu
kereta Azam dari rumah, berhenti solat Asar di Genting Sempah, tanpa henti rapat pecut terus ke Masjid UNIPSAS di tengah bandar Kuantan, Pahang. UNIPSAS adalah tempat
belajar sahabat si Luqman, dialah seorang sahaja setakat ini geng Pandan Jaya Teen
yang sambung ijazah secara sepenuh masa. Kami bercadang untuk jumpa di masjid,
kami yang musafir ini hendak solat jamak di sini.
Ihsan menunaikan solat jamak di
dalam dewan solat ini dalam gelap; kerana solat Isyak berjemaah sudah habis dan
sudah pukul 9 malam. Hendak cari suis memang taklah dengan mata malam tak
nampak sangat. Ambil aura tahajjud betul masa itu. Dalam gelap masjid ini, cantik
betul ruang dalamnya, Subhanallah. Ihsan tak tergesa-gesa sangat sebab kita
pegang kunci keretakan hehehe.
Masjid
Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam
Suatu Asar di Masjid Negeri Shah
Alam, Ihsan teringat ada seorang
sahabat MAIP yang belajar di UiTM Shah Alam; Wan Ashraff. Ihsan petit nombornya
di telefon, saja bertanya khabar. Ada juga hasrat hendak berjumpa, lama tak
berjumpa sejak masing-masing membina haluan selepas SPM.
Kebetulan Wan (selepas ini dipanggil
Wea Serah) sedang ada acara hoki di kampus, mengajak Ihsan untuk datang
kepadanya di sana. Apa lagi, demi menyambung tautan ukhuwah rakan sekolah,
Ihsan terus hidupkan Axia keramat, lancarkan aplikasi navigasi terus bergerak
ke kampus induk universiti terbesar di Malaysia itu.
Setibanya di UiTM Shah Alam, Ihsan
terus memandu ke kompleks sukan. Disinilah berkerumun siswa yang sebaya Ihsan
(yalah, orang sebaya belajar, kita sudah bekerja) bermain aneka sukan. Berjumpa
dengan Wea Serah. Banyak cerita kami bualkan berlatarkan senja. Menghampiri
maghrib, kami berdua berpisah dan menanam hasrat untuk berjumpa lagi.
Ihsan terus bergerak ke Masjid UiTM
Shah Alam, dinamakan sempena Yang Dipertuan Agong asal Terengganu, Al-Wathiqu
Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin. Masjid ini letaknya di lereng bukit,
berhampiran dengan Fakulti Pengajian Islam. Masjidnya sangat luas, lampu redup
disamping pendingin hawanya betul-betul menenangkan maghrib itu walaupun imam
baca surah pendek. Syahdu di taman pengajian.
Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS), Bandar Seri Putra
Sahabat si Anas ada mengajak pergi
menonton wayang, alkisahnya cuti asalnya kena kerja tiba-tiba takyah kerja kena
cuti. Stres betul. Anas ni jauh dari Kajang ke Subest ni datang, takkanlah nak
balik sia-sia kan? Jadi diadakan satu cadangan untuk pergi tengok wayang.
Dimana? Entah. Keluar dari pejabat, kami terus bergerak ke Universiti Islam
Selangor (nama asalnya Kolej Universiti Islam Selangor) untuk ambil rakannya.
Setibanya di muka pintu UIS, Ihsan
lihat tasiknya yang meredupkan taman ilmu ini. Barangkali inilah tasik yang
disebut-sebut sebagai mercu indah UIS ini. Masuk lebih dalam, bertemu dengan
sebuah masjid yang dinamakan dengan Masjid Al-Azhar. Terpaling taknak kalah.
Seingat Ihsan, sementara Anas mengambil rakannya singgah Ihsan disini amatlah
singkat. Ruang dalam dan legar betul-betul bersuasana (vibe). Namanya yang unik
barangkali mengubat rindu pelajar Al-Azhar Mesir datang kesini mengambil lunak
tempat mereka menadah ilmu duniawi dan ukhrawi.
Masjid Al Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim
UPSI menjadi tempat belajar kepada
beberapa kawan dan senior Ihsan. Soal datang ke masjid ini, ada satu masa
dimana Ihsan sekeluarga melawat sepupu yang menuntut di sini. Ketika itu kami
singgah ke masjid sebelum makan-makan di Kolej Harun Aminurrashid. Oleh kerana
datang sekejap benar, sekadar itu sahaja catatannya. Paling penting, semua
pelajar disitu kita boleh panggil cikgu (jenaka pendidikan).
Masjid
Ar-Rahman, Universiti Malaya (UM), Bangsar
Sabtu biasanya Ihsan akan kerja
separuh hari. Dapat pula mesej dari sahabat Nabil Al-Azhari (laqab bagi pelajar
Al-Azhar Mesir), dia bersiar-siar di Kuala Lumpur katanya. Sejurus habis kerja,
Ihsan tunggu Nabil dan sahabat sekelas si Aiman di Masjid Al-Bukhary Hang Tuah.
Meratalah bawa dua warganegeri Kelantan ini pusing Kuala Lumpur. Makan pulut
mangga di Kampung Baru, ziarah ‘rare’ melawat pusara Allahyarham P Ramlee di
Tanah Perkuburan Jalan Ampang dan solat Maghrib di pusat Tabligh, Masjid Jamek
Seri Petaling. Dapat pujian terbaik dari ‘pelancong’, yalah tiba-tiba jadi
pemandu pelancong tanpa tauliah.
Setelah menghantar mereka pulang di
KL Sentral, dan balik lalu pula Lebuhraya Persekutuan, datang rasa hendak
ziarah satu masjid universiti; Masjid Ar-Rahman, Universiti Malaya (UM). Dari
KL Sentral, dalam berapa minit sahaja untuk ke sana.
Masjid ini terletak di pintu utama
Universiti Malaya. Anehnya, bila Ihsan masuk ke masjid ini, masjid ini tiada
asosiasi atau penglibatan dari segi nama, mengatakan bahawa masjid ini adalah
masjid untuk Universiti Malaya. Seolah-olah masjid ini adalah entiti berbeza dari
Universiti Malaya. Tapi pelajar UM memang mengerjakan sembahyang disini
tambahan menurut Wikipedia, ya masjid ini sememangnya diuruskan oleh pihak
Universiti Malaya bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Dia
jadi nampak asing sebab terletak di luar kampus. Itu sahaja.
Masjid
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi
Tibalah kita di dua teratas, ha
sebut tentang Masjid UKM ni, kunjungan Ihsan di UKM tak lekang untuk ziarah
rumah Allah ini. Terletak di dalam, di pintu utama universiti watan ini betul
punya aura senibina tahun 70-an sungguh. Masjid ini mempunyai gahnya
tersendiri, pada waktu malam dihiasi lampu limpah berwarna-warni. Salah satu
tujuan Ihsan datang ‘healing’ sambil tanam impian hendak sambung belajar.
Cantik sungguh. Selain daripada senibina yang moden versi 70-an ini, masjid ini
memang ringkas. Mimbarnya terletak diatas, jadi nampaknya Ihsan kena ambil cuti
hari Jumaat sekali nak merasa solat Jumaat disini.
Sekarang ini Ihsan banyak
ber’healing’ jauh ke Bangi ke UKM untuk tanam impian sambung belajar, berdoa di
taman ilmu ini selain mendapat dorongan dari sahabat alumni UKM dan sabahat si
Ju. Ju muda setahun dengan Ihsan, andaikata Ihsan masuk tahun 2024 ini, dia
jadi senior Ihsan gitu.
Masjid
Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak
Masjid manakah paling cantik? Tak
boleh lawan Masjid UIA lah bro! Berbumbung biru hijau dikelilingi bangunan
bumbung sama corak ni dari celah LPT fuhhh, cantik betul Subhanallah. Kali
pertama Ihsan pergi bersama pasangan takaful sahabat sekelas Kak Fatihah dan
suaminya. Sejak dari itu sampailah sekarang haih tak boleh kira berapa kali
pergi. Pernah terawih disini bersama sahabat Wea Serah, Abil, Hasyiem dan
Hasan. Pernah sekali dengan si Anas. Pergi seorang diri memang banyak kali.
Masjid ini memang kelabu asap
estetik. Lawa subhanallah. Dewannya sampai tiga tingkat, pernah juga solat
Jumaat disini, memang gelewak. Ditambah pula pelajar disini pelbagai negara.
Khutbah pun bahasa Inggeris. Nampaklah ‘antarabangsa’ tu.
Rasanya sampailah sekarang, jika
Ihsan pulang ke rumah dari pejabat di Desa Pandan, lalu MRR2, memang Allah
susun cantik maghrib tu singgah UIA untuk elak kesesakan jalan raya. Balik
Isyak terus sambung MRR2 lagi. Kiranya jujur disini, Masjid UIA ni memang
datang sekurang-kurangnya sekali seminggu.
---
Begitulah senarai masjid universiti
yang pernah Ihsan ziarah. Hasrat di hati tahun 2024 ini Ihsan hendak ziarah
lebih banyak masjid universiti, seperti dalam bakul impian; Masjid UNISZA, Masjid
USIM, Masjid USM dan banyak lagi. Taman ilmu akan mekar dengan semangat para
penadah ilmu yang dahagakan pengetahuan disalut iman dan ketaqwaan kepada Allah
Ta’ala.
Hasan Z. Ali, Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam, 7 Januari 2024.
Ulasan